tadabburkalamullah | Unsorted

Telegram-канал tadabburkalamullah - Tadabbur Kalamullah

13574

Oleh Ustaz Muhamad Naim Haji Hashim

Subscribe to a channel

Tadabbur Kalamullah

#Kisah ini boleh dijadikan sebagai iktibar dan pengajaran berkenaan seorang ahli Ibadah yang hampir terjerumus ke lembah dosa, kemudian dia tersedar akan kesilapannya dan bertaubat kepada Allah swt. Begitu juga taubat seorang perempuan cantik yang melacurkan dirinya untuk mendapatkan kemewahan dunia, yang mana disebabkan oleh ahli ibadah ini, Allah membuka hatinya untuk menyesal akan perbuatannya dan terus bertaubat kepada Allah dan berhijrah daripada dunia gelapnya itu.

♡Moga kisah ini dapat memotivasikan kita agar sentiasa bertaubat daripada dosa yang pernah kita lakukan♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 4 Jamadil Akhir 1446H☆

فَمَن تَابَ مِنۢ بَعۡدِ ظُلۡمِهِۦ وَأَصۡلَحَ فَإِنَّ ٱللَّهَ یَتُوبُ عَلَیۡهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورࣱ رَّحِیمٌ

"Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah al-Māʾidah 39]

#Taubat itu adalah wajib bagi apa jua kesalahan atau dosa yang telah dilakukan.

#Janganlah kita berputus asa dari rahmat Allah swt. Meskipun manusia seluruhnya menolak kamu kerana besarnya dosamu, maka di sana sentiasa ada rahmat dan pengampunan daripada Allah swt. Firman Allah swt:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan- perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah az-Zumar 53]

#Maka, perbanyakkanlah beristighfar di dalam kehidupan kita ini. Basahilah lidah kita dengan bacaan istighfar. Sungguh banyak dalil yang merujuk kepada kelebihan beristighfar dan anjuran memperbanyakkan istighfar.

#Bahkan Nabi saw yang maksum (terpelihara daripada dosa) juga melazimi istighfar. Sabda Nabi saw:

وَاللَّهِ إِنِّي لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

"Demi Allah! Aku memohon keampunan daripada Allah dan bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih daripada 70 kali" (HR al-Bukhari)

#Berkata Sayidina Abu Hurairah r.a: "Aku beristighfar memohon keampunan daripada Allah dan bertaubat kepadaNya sebanyak 1000 kali setiap hari" (Lihat: Al-Hilyah al-Auliya’)

#Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah r.ha pernah berkata: "Beruntunglah bagi mereka yang mendapati buku amalannya dipenuhi dengan istighfar yang banyak" (Riwayat al-Imam al-Baihaqi)

#Sabda Rasulullah saw:

طُوبَى لِمَنْ وَجَدَ فِي صَحِيفَتِهِ اسْتِغْفَارًا كَثِيرًا

"Beruntunglah bagi orang yang mendapati dalam catatan amalannya istighfar yang banyak" (HR Ibn Majah)

#Berkata Syeikh al-Islam: “Istighfar seorang manusia lebih utama daripada semua6 doa-doa.” Ini berdasarkan kenyataannya dalam Jami’ al-Masa’il.

#Sayidina Ali r.a berkata: “Aku merasa hairan siapa yang binasa sedangkan kebaikan dan kebajikan serta penyelamatan bersama dengannya.” Lalu ditanya: “Apa dia?” Jawabnya:"Istighfar" (Lihat: Uyun al-Akhbar)

#Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Insya Allah akan diterima dan dihapuskan dosa tersebut. Diriwayatkan daripada Abu Zarr al-Ghifari r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: 

يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ

"Hai hamba-hambaKu sesungguhnya kamu melakukan kesilapan di malam dan siang hari. Sedangkan Aku mengampunkan dosa-dosa semuanya. Justeru, minta ampunlah kepadaKu, nescaya, Aku ampunkan kepadamu" (HR Muslim)

♡Beristighfar dan bertaubatlah selagi nyawa di kandung badan♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 2 Jamadil Akhir 1446H☆

كُلُّ مَنۡ عَلَیۡهَا فَانࣲ * وَیَبۡقَىٰ وَجۡهُ رَبِّكَ ذُو ٱلۡجَلَـٰلِ وَٱلۡإِكۡرَامِ

"Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa: Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan" [Surah ar-Raḥmān 26-27]

#Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili rahimahullah berkata: "Semua apa yang ada di bumi mulai dari manusia hingga semua makhluk hidup yang ada, begitu juga para penduduk langit kecuali makhluk yang dikehendaki oleh Allah swt, seluruhnya akan binasa, fana dan mati. Kehidupan mereka semua akan berakhir. Tiada yang kekal kecuali hanya Zat Allah swt yang memiliki Keagungan dan Kebesaran. Kefanaan dan kebinasaan adalah sebuah keyakinan dan hal yang pasti bagi seluruh makhluk di langit dan bumi pada hari Kiamat" (Lihat: al-Tafsir al-Munir)

#Imam Ibn Kathir rahimahullah mengatakan: "Allah swt mengkhabarkan bahawa seluruh penghuni bumi akan pergi dan mati secara keseluruhan. Demikian juga halnya dengan penghuni langit, kecuali yang dikehendaki oleh Allah swt" (Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim)

#Ayat ini mengisbatkan sifat kemuliaan dan kesempurnaan bagi Allah yang kekal abadi tidak mati selama-lamanya. Makhluk lain yang bernyawa semuanya akan mati termasuk malaikat maut, semua malaikat dan iblis yang pernah minta ditangguhkan kematiannya sebelum ini.

#Sesungguhnya para malaikat juga akan mengalami kematian dan inilah pendapat majoriti ulamak. (Lihat: Faidhul Qadir)

#Imam as-Suyuti rahimahullah berkata: Aku ditanya, adakah para malaikat akan mati ketika tiupan sangkakala? Jawabnya: Ya. Allah swt berfirman:

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ

"Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah)".

Kami (Imam as-Suyuti) telah jelaskan bahawa yang dikecualikan adalah Malaikat Pembawa Arasy, Jibril, Israfil, Mikail dan Malaikat pencabut nyawa, mereka semua akan mati setelah itu. Dan telah disebutkan daripada Wahb bin Munabbih bahawa malaikat-malaikat tersebut adalah makhluk yang pertama kali diciptakan dan yang terakhir dimatikan serta yang pertama kali dibangkitkan. Kemudian dikuatkan perkataannya tersebut dengan nas (dalil) akan kematian penduduk langit dan bumi, sehingga malaikat Jibril, Israfil, pembawa Arasy kemudian yang terakhir adalah malaikat pencabut nyawa" (Lihat: al-Haba’ik fi Akhbar al-Mala’ik)

#Jin juga akan mengalami kematian sepertimana manusia menghadapi mati. Firman Allah swt:

أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ حَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِم مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ

"Mereka (yang ingkar derhaka seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman (azab) bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka - dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka telah menyebabkan diri mereka menjadi orang-orang yang rugi" [Surah al-Ahqaf 18]

#Imam al-Alusi berkata: Berdalilkan firman Allah swt “فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ” (bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka), maka jin juga mati daripada satu kurun kepada satu kurun sepertimana manusia" (Lihat: Ruh al-Ma’ani)

#Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: Ayat di atas menjadi dalil bahawa jin juga mati" (Lihat: al-Fatawa al-Hadithiyyah)

#Allah nyatakan bahawa semua yang ada di atas muka bumi ini akan hancur binasa, akan mati samada manusia, jin, malaikat, Iblis serta semua makhluk lain tidak akan ada yang kekal kecuali Allah swt sahaja.

♡Kita semua pasti akan mati, maka pastikan kita menyiapkan bekalan amal soleh dan amal kebajikan sebanyak-banyaknya dan penuh kualiti. Semoga amalan kita semua tidak binasa dan diterima Allah swt. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 29 Jamadil Awwal 1446H☆

وَٱلَّذِینَ هُم بِـَٔایَـٰتِ رَبِّهِمۡ یُؤۡمِنُونَ * وَٱلَّذِینَ هُم بِرَبِّهِمۡ لَا یُشۡرِكُونَ * وَٱلَّذِینَ یُؤۡتُونَ مَاۤ ءَاتَوا۟ وَّقُلُوبُهُمۡ وَجِلَةٌ أَنَّهُمۡ إِلَىٰ رَبِّهِمۡ رَ ٰ⁠جِعُونَ * أُو۟لَـٰۤىِٕكَ یُسَـٰرِعُونَ فِی ٱلۡخَیۡرَ ٰ⁠تِ وَهُمۡ لَهَا سَـٰبِقُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Tuhan mereka. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhan mereka. Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya" [Surah al-Muʾminūn 58-61]

#Sayidatina Aisyah r.anha menceritakan bahawa dia bertanya kepada Rasulullah saw tentang orang-orang dalam ayat tersebut. Baginda saw menjawab bahawa mereka adalah orang-orang yang menjalankan puasa, solat dan bersedekah, namun tetap bimbang amal mereka tidak diterima, sehingga mereka sentiasa bersegera dalam melakukan kebaikan" (HR at-Tirmizi)

#Ini memahamkan kita bahawa perasaan harap dan takut yang benar-benar bermanfaat ialah yang diiringi oleh amal soleh. Jika kita memerhatikan keadaan para sahabat nabi saw, kita dapati bahawa mereka berada pada kemuncak amal berserta kemuncak rasa takut pada Allah swt.

#Diriwayatkan Sayidina Umar bin al-Khattab r.a tersangat takut akan azab Allah swt. Ketika beliau membaca Surah at-Thur ayat 7: "Sungguh, azab Rabbmu pasti terjadi", beliau menangis hingga jatuh sakit. Pernah juga saat berzikir di malam hari, beliau membaca ayat yang menimbulkan rasa takut yang mendalam sehingga beberapa hari tidak keluar rumah. Begitu mendalam rasa takut nya sehingga di wajah Sayidina Umar terdapat garis hitam bekas tangisan.

#Ibnu Abi Mulaikah menyampaikan cerita bahawa tiga puluh sahabat  nabi saw yang ia temui, semua takut jika mereka terjatuh dalam kemunafikan. Tidak seorang pun dari mereka yang merasa aman dari kemunafikan, bahkan mereka tidak mendakwa bahawa keimanan mereka setaraf dengan Malaikat Jibril dan Malaikat Mikail.

#Perlu kita fahami bahawa untuk mencapai sesuatu yang diinginkan, termasuk syurga, ada tiga syarat penting yang harus dipenuhi:

1. Pertama: adanya rasa cinta yang mendalam terhadap apa yang diharapkan.
2. Kedua: perasaan bimbang jika tidak berhasil mencapainya.
3. Ketiga: usaha yang bersungguh-sungguh sesuai kemampuan dalam melakukan amal soleh.

♡Orang beriman sentiasa bimbang takut amalnya ditolak dan sentiasa mengharapkan segala amalnya diterima dan sentiasa melakukan amal soleh demi mengharapkan redha serta rahmatNya♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 27 Jamadil Awwal 1446H☆

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَـٰمُوا۟ تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَبْشِرُوا۟ بِٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan), "Janganlah kamu takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperolehi) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu" [Surah Fusshilat 30]

#Imam Ahmad rahimahullah meriwayatkan satu kisah menarik yang berlaku pada malam Israk Mikraj. Diriwayatkan dalam perjalanan ke langit Baginda Rasulullah saw terhidu bauan yang sangat wangi. Baginda saw lalu bertanya kepada Sayidina Jibril Alaihissalam:

يَا جِبْرِيلُ مَا هَذِهِ الرَّائِحَةُ الطَّيِّبَةُ فَقَالَ هَذِهِ رَائِحَةُ مَاشِطَةِ ابْنَةِ فِرْعَوْنَ وَأَوْلاَدِهَا

"Wahai Jibril, apakah bau yang sangat wangi ini? Malaikat Jibril menjawab, ia adalah bauan (Mashitah) tukang sikat anak perempuan kepada Firaun dan anak-anaknya (mashitah)" (HR Ahmad)

#Menurut riwayat, Mashitah dikatakan menyebut lafaz 'Bismillah' ketika sikatnya terjatuh sehingga menyebabkan anak Firaun mengadu kepada Firaun tentang peristiwa itu. Firaun tersangat murka apabila mendapati ada Tuhan selain dirinya lalu diarahkan supaya disediakan tempat bakar untuk memanggang, merebus Mashitah sekeluarga termasuk anak-anak Mashitah (si tukang sikat tersebut).

#Ibubapa mana yang sanggup melihat anak-anaknya dibakar atau dicampak dalam minyak yang mendidih hidup-hidup dan menggeletek mati dibakar?

#Hal itulah yang terpaksa dihadapi Mashitah. Beliau dikatakan istiqamah dan kekal beriman sehinggalah apabila tiba giliran anaknya yang sedang menyusu, yang dikendongnya, saat itu beliau menangis. Allah lalu mengurniakan karamah yang tidak pernah terlintas dibenak fikirannya. Bayi yang dikendongnya itu dikurniakan kelebihan bercakap, lalu berbicara menenangkan ibunya dan menyuruh ibunya istiqamah atas iman dan Islam yang dianuti mereka.

#Kita juga harus mencontohi tokoh- tokoh besar di dalam sejarah perjuangan Islam yang sangat istiqamah berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir seperti Sayidina Abu Ayub al-Ansari r.a dan Abdul Rahman bin Musa bin Nusair yang masih sanggup menjadi hulubalang dan panglima Islam pada usia emas mereka yang mencecah lapan dekad, sehingga Islam kemudiannya dapat menembusi kota Konstantinople dan bumi Andalusia.

فَاسْتَقِمْ كَمَآ اُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ

"Maka istiqamahlah (tetaplah) engkau (Nabi Muhammad pada jalan yang benar) sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan juga orang yang bertaubat bersamamu…" [Surah Hud 112]

♡Semoga kita semua tergolong dalam golongan hamba-hambaNya yang sentiasa istiqamah dalam iman, perjuangan dan beramal soleh kepadaNya setiap masa sehingga waktu ajal menjemput. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 25 Jamadil Awwal 1446H☆

فَلۡیَعۡبُدُوا۟ رَبَّ هَـٰذَا ٱلۡبَیۡتِ * ٱلَّذِیۤ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعࣲ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۭ

"Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini. Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan" [Surah Quraysh 3-4]

#Rasa aman dan tenang adalah suatu nikmat kurniaan Allah swt yang perlu di syukuri dengan menambahkan amal ketaatan kepadaNya.

#Allah swt memerintahkan kepada kita beribadah kepadaNya sebagai wujud nikmat aman yang dianugerahkan pada kita.

#Nabi saw juga menyatakan bahawa rasa aman adalah suatu nikmat yang besar. Diriwayatkan daripada Sayidina ’Ubaidillah bin Mihshan Al-Anshari r.a bahawa Nabi saw bersabda:

مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ آمِنًا فِى سِرْبِهِ مُعَافًى فِى جَسَدِهِ عِنْدَهُ قُوتُ يَوْمِهِ فَكَأَنَّمَا حِيزَتْ لَهُ الدُّنْيَا

"Barangsiapa di antara kalian mendapat rasa aman di rumahnya (pada diri, keluarga dan masyarakatnya), diberikan kesihatan badan, dan memiliki makanan pada hari itu di rumahnya, maka seakan-akan dunia telah terkumpul pada dirinya" (HR at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

#Ketahuilah, harapan yang paling besar yang diidam-idamkan oleh sahabat-sahabat Rasulullah saw tatkala mereka diseksa, diancam dan di halang di zaman awal Islam ketika hidup di Mekah adalah dapat menunaikan ibadah dengan aman dan tenang. Para sahabat sangat bergembira ketika berhijrah ke Habsyah kerana mereka dapat menunaikan ibadah dengan tenang dan tidak ada sesiapapun yang menghalang mereka daripada bebas beribadah. Lihatlah betapa besarnya nikmat keamanan.

#Oleh itu, jangan sesekali menghilangkan nikmat aman dengan mengkufuri dan menderhakai Allah swt. Firman Allah swt:

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلࣰا قَرۡیَةࣰ كَانَتۡ ءَامِنَةࣰ مُّطۡمَىِٕنَّةࣰ یَأۡتِیهَا رِزۡقُهَا رَغَدࣰا مِّن كُلِّ مَكَانࣲ فَكَفَرَتۡ بِأَنۡعُمِ ٱللَّهِ فَأَذَ ٰ⁠قَهَا ٱللَّهُ لِبَاسَ ٱلۡجُوعِ وَٱلۡخَوۡفِ بِمَا كَانُوا۟ یَصۡنَعُونَ

"Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan" [Surah an-Naḥl 112]

#Gara-gara mengingkari nikmat dan menderhakai Allah swt, akhirnya datanglah musibah dan kebinasaan. Bentuk dari mengingkari nikmat adalah dengan mendustakan ajaran Rasul.

وَلَقَدۡ جَاۤءَهُمۡ رَسُولࣱ مِّنۡهُمۡ فَكَذَّبُوهُ فَأَخَذَهُمُ ٱلۡعَذَابُ وَهُمۡ ظَـٰلِمُونَ

"Dan demi sesungguhnya, mereka pula telah didatangi seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, lalu mereka mendustakannya; maka mereka pun ditimpa azab sedang mereka berkeadaan zalim" [Surah an-Naḥl 113]

♡Aman merupakan satu nikmat yang wajib disyukuri. Jangan sesekali melakukan perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah dan kebinasaan♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 23 Jamadil Awwal 1446H☆

وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلۡأَوَّلُونَ مِنَ ٱلۡمُهَـٰجِرِینَ وَٱلۡأَنصَارِ وَٱلَّذِینَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحۡسَـٰنࣲ رَّضِیَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُوا۟ عَنۡهُ وَأَعَدَّ لَهُمۡ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی تَحۡتَهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِینَ فِیهَاۤ أَبَدࣰاۚ ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِیمُ

"Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar" [Surah At-Tawbah 100]

#Generasi sahabat nabi saw merupakan antara generasi yang terbaik dan terunggul. Allah swt dan RasulNya saw telah menyebutkan tentang keutamaan yang banyak atas para sahabat dibandingkan umat-umat yang lain. Maka, wajib kepada kita untuk mengimani dan mencintai mereka serta mencontohi akhlak mereka yang terhebat.

#Generasi sahabat nabi saw antara manusia yang sangat menghormati nabi saw. Mereka sangat menjaga adab dengan Rasulullah saw.

#Diceritakan dari Sayidina Abu Ayyub r.a, beliau berkata: "Ketika Rasulullah saw singgah di rumahku, Baginda berada di tingkat bawah manakala aku dan Ummu Ayyub berada di tingkat atas. Kemudian aku berkata kepada Baginda: "Wahai Nabi Allah, ibu bapaku rela menjadi tebusan untukmu. Aku merasa tidak selesa berada di atas sementara Baginda berada di bawah. Oleh itu, bangunlah dan naiklah ke tingkat atas, sementara kami akan turun dan pindah ke tingkat bawah". Kemudian Baginda menjawab: "Wahai Abu Ayyub, yang lebih selesa bagi kami dan juga bagi orang yang datang melawat kami, adalah apabila kami berada di tingkat bawah rumah" (HR Muslim)

#Dalam satu riwayat lain, diceritakan bahawa ketika Rasulullah saw tiba di Madinah, Baginda menginap di rumah Sayidina Abu Ayyub r.a. Rasulullah saw tidur di tingkat bawah, manakala Sayidina Abu Ayyub tidur di tingkat atas. Pada suatu malam, Sayidina Abu Ayyub terjaga dan berkata kepada isterinya: "Kita berjalan di atas kepala Rasulullah saw!" Oleh itu, dia berpindah dan tidur di sebelah. Ketika pagi tiba, dia menceritakan kejadian itu kepada Rasulullah saw, lalu Rasulullah saw menjawab: “Tingkat bawah lebih selesa untuk kami.” Maka Abu Ayyub menjawab: "Aku tidak akan naik ke atas atap di mana engkau berada di bawahnya". Selepas itu, Sayidina Abu Ayyub pindah ke tingkat bawah sementara Rasulullah saw berada di tingkat atas" (HR Muslim)

#Sayidina Abu Ayyub r.a menceritakan kepada Abu Ruhm, katanya: Bahawa Rasulullah saw tidur di tingkat bawah rumah kami, sementara aku berada di dalam bilik. Air tumpah di dalam bilik, lalu aku dan Ummu Ayyub mengambil kain berumbai untuk mengelap air yang tumpah itu mengikut arah alirannya. Aku turun dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, kami tidak sepatutnya berada di atasmu. Pindahlah ke bilik.’ Kemudian, Baginda menyuruh kami membawa barang-barangnya dan kami memindahkan barang-barang Baginda yang sedikit itu" (HR Ahmad)

♡Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia iaitu sentiasa beradab dengan Rasulullah saw. Jangan sesekali menghina Rasulullah saw samada dalam bentuk lawak atau serius. Jaga adab dan contohi perilaku sahabat nabi saw dalam memuliakan saw♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 21 Jamadil Awwal 1446H☆

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu"[Surah al-Ghafir 60]

#Kita dianjurkan untuk berdoa memohon sebarang hajat kepada Allah swt. Namun begitu, doa memerlukan tatacaranya, kaedahnya dan dengan ungkapan yang ringkas tetapi menyeluruh. Ini berdasarkan amalan Rasulullah saw yang mengajar para sahabat memulakan doa dengan memuji Allah dan berselawat, kemudian memilih doa yang padat maknanya, meliputi kebaikan dunia dan akhirat.

#Sayidina Fadhalah bin ‘Ubaid r.a bercerita:

سمعَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ رجلًا يَدعو في صلاتِهِ لم يُمجِّدِ اللَّهَ تعالى ولم يُصلِّ علَى النَّبيِّ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ فقالَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ عجِلَ هذا ثمَّ دعاهُ فقالَ لَهُ أو لغيرِهِ إذا صلَّى أحدُكُم فليَبدَأ بتَمجيدِ ربِّهِ جلَّ وعزَّ والثَّناءِ علَيهِ ثمَّ يصلِّي علَى النَّبيِّ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ ثمَّ يَدعو بَعدُ بما شاءَ

"Rasulullah saw mendengar seorang lelaki berdoa dalam solatnya tanpa memuji Allah swt dan berselawat kepada Nabi saw. Lalu Rasulullah saw berkata: Dia gelojoh. Kemudian Nabi memanggil lelaki itu. Lantas baginda memberikan nasihat kepada lelaki itu dan kepada orang lain: "Apabila kamu berdoa, maka mulakan dengan memuliakan Allah Taala dan memujiNya, kemudian berselawat kepada Nabi saw, kemudian berdoa apa yang dimahukan" (Sunan Abi Dawud)

#Menyentuh berkenaan hadis seumpama ini, Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan adab berdoa seperti berikut:

أجمع العلماء على استحباب ابتداء الدعاء بالحمد لله تعالى والثناء عليه ، ثم الصلاة على رسول الله صلى الله عليه وسلم ، وكذلك تختم الدعاء بهما، والآثار في هذا الباب كثيرة مرفوعة

"Ulamak sepakat bahawa disukai untuk kita mulakan doa dengan bertahmid dan memuji Allah Taala, kemudian selawat kepada Rasulullah saw. Demikian kita menutup doa dengan kedua-duanya. Athar yang bertaraf marfu' dalam memperkatakan hal ini agak banyak".

#Sesungguhnya Rasulullah saw suka akan doa yang ringkas yang menyeluruh dan meninggalkan doa yang berlebihan sebagimana yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah r.ha katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَحِبُّ الْجَوَامِعَ مِنْ الدُّعَاءِ وَيَدَعُ مَا سِوَى ذَلِكَ

"Rasulullah saw suka memilih doa-doa yang ringkas tetapi penuh makna, dan meninggalkan selain daripada itu" (Riwayat Ahmad dan Abu Daud. Sahih)

#Maksud doa yang ringkas ialah doa yang mencakupi kebaikan dunia dan akhirat, dengan ungkapan yang ringkas tetapi penuh makna, seperti dalam firman Allah swt: رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ, dan juga doa meminta ‘afiah di dunia dan akhirat.

#Diriwayatkan daripada Sayidina Ali r.a bahawa seorang hamba datang kepadanya mengadu bahawa beliau tidak mampu menyelesaikan hutangnya, lalu Sayidina Ali berkata: "Mahukah aku ajarkan kamu beberapa kalimat yang diajarkan kepadaku oleh Rasulullah saw, jika engkau mempunyai hutang sebesar Gunung Sair sekalipun, Allah pasti akan melunaskannya untukmu? Katakanlah:

 اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

"Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezeki halalMu agar tidak mengharapkan yang haram, dan kayakanlah aku dengan kurniaanMu agar tidak bergantung kepada selainMu" (HR at-Tirmizi)

♡Berdoalah sebagaimana adab yang diperintahkan oleh Nabi saw. Moga Allah swt memakbulkan segala permintaan kita. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 20 Jamadil Awwal 1446H☆

وَلِلَّهِۤ يَسۡجُدُ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعًا وَكَرۡهًا وَظِلَٰلُهُم بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ

"Dan kepada Allah swt jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang" [Surah ar-Rad 15]

#
Berkata Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali rahimahullah: "Apabila benda tidak hidup (jamadat) pun sujud kepada Allah azza wa jalla, maka bagaimana mungkin seorang hamba yang berakal boleh lalai daripada mengabdikan diri kepadaNya" (Lihat: Ihya’ Ulum al-din)

#
Apabila kita terlintas mahu menyombong diri dengan ilmu yang kita ada atau kekayaan yang kita miliki, atau kita enggan memakmurkan rumah Allah untuk solat berjemaah, wahai kaum lelaki, maka ingatlah pesan Imam al-Ghazali ini, sangat menusuk qalbu dan menginsafkan.

#
Maka setiap kali mendengar laungan azan, paksakan diri untuk hadir ke masjid surau untuk tunduk dan sujud pada Allah swt sebagai tanda patuhnya seorang hamba pada penciptaNya.

#
Sayidina Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

إِنَّ أَثْقَلَ الصَّلاةِ عَلَى الْمُنَافِقِينَ، صَلاةُ الْعِشَاءِ الآخِرَةِ، وَصَلاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا، لأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

"
Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Jikalau mereka mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak" (HR Ahmad)

#Al-Zarqani menyebutkan dalam syarah kitab Muwatta' al-Imam Malik bahawa Sayidina Abu Darda’r.a ketika sakit hendak meninggal dunia menyebutkan bahawa:

اسْمَعُوا وَبَلِّغُوا، حَافِظُوا عَلَى هَاتَيْنِ الصَّلاتَيْنِ يَعْنِي فِي جَمَاعَةٍ الْعِشَاءِ وَالصُّبْحِ وَلَوْ تَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لأَتَيْتُمُوهُمَا وَلَوْ حَبْوًا عَلَى مَرَافِقِكُمْ وَرُكَبِكُمْ

"Dengarkan dan sampaikanlah, peliharalah dua solat jemaah ini iaitu Isyak dan Subuh. Kalaulah kamu mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya kamu akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak di atas siku-siku dan lutut-lutut kamu" (Lihat: Syarh al-Zarqani ‘ala Muwatta’ al-Imam Malik)

#Dikisahkan pada suatu hari, Maimum bin Mihran terlewat pergi solat jamaah. Sampai sahaja di masjid, orang dah mula balik. Betapa kecewanya beliau, lalu Maimun berkata:

إنَّا لله وإنا إليه راجعون؛ لَفضل هذه الصلاة أحبُّ إليَّ من ولاية العراق

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji`un, keutamaan solat ini lebih aku sukai daripada aku menjadi gabenor Wilayah Iraq.”

♡Tunduk dan sujudlah padaNya sebagai tanda seorang hamba yang benar-benar mentaati dan mensyukuri nikmatNya. Lazimkan diri dengan hadir solat berjemaah di rumah Allah swt♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 18 Jamadil Awwal 1446H☆

قُلۡ إِنَّ صَلَاتِی وَنُسُكِی وَمَحۡیَایَ وَمَمَاتِی لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam" [Surah al-Anʿām 162]

#Ayat ini mengingatkan kita bahawa solat, amal ibadah yang kita lakukan hari-hari, seluruh kehidupan dan kematian kita adalah kerana Allah swt. Maka lakukanlah solat, puasa, zakat, ibadah korban dan seluruh amal soleh ikhlas hanya kerana Allah swt. Ketahuilah bahawa ibadah solat, puasa, zakat, haji, korban dan lain-lain melayakkan seseorang itu beroleh ganjaran syurga dan mendapat kedudukan istimewa di akhirat kelak.

#Ummul Mukminin, Sayidatina Hindun atau gelarannya Sayidatina Ummu Salamah r.ha pernah bertanyakan kepada buah hatinya, Baginda Sayyidina Rasulullah saw:

يا رسولَ اللهِ: نِساءُ الدُّنيا أفضلُ أم الحورُ العينُ؟

"Duhai Rasulullah saw, siapa lebih utama antara wanita dunia dengan bidadari (hurun ‘ain)?"

قال: بل نساءُ الدنيا أفضلُ من الحُورِ العينِ، كفضلِ الظهارةِ على البطانةِ

Rasulullah saw menjawab: "Mestilah wanita dunia lebih utama berbanding bidadari, sebagaimana keutamaan pakaian luaran ke atas pakaian dalam".

قلتُ يا رسولَ اللهِ: وبم ذاكَ؟

"Ummul Mukminin r.ha bertanya lagi: Kenapa macam tu?"

قال بصلاتهنَّ وصيامهن َّوعِبادتهنَّ للهِ

Jawab Rasulullah saw: "Disebabkan solat, puasa dan ibadah mereka kepada Allah swt".

#Lihatlah betapa hebatnya amalan solat, puasa dan seluruh ibadah yang dikerjakan benar-benar kerana Allah swt dapat mengangkat kedudukan manusia melebihi kedudukan bidadari syurga. Sedangkan didalam hadis menyebut tentang kemuliaan dan kehebatan bidadari syurga.

#Rasulullah saw bersabda: "Jika salah seorang bidadari menampakkan wajahnya ke dunia, nescaya akan menerangi langit dan bumi dan akan dipenuhi dengan aroma yang harum semerbak. Penutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan isinya" (HR Bukhari dan Muslim)

#Betapa hebat dan istimewanya bidadari syurga sebagaimana yang digambarkan dalam hadis diatas. Tetapi wanita dunia lebih utama daripada bidadari syurga disebabkan amal ibadah, solat dan puasa yang mereka lakukan.

♡Pastikan kehidupan kita sentiasa dihiasi dengan ibadah solat dan lakukan secara berjemaah. Lazimkan ibadah puasa secara berterusan dan laksanakan segala amal ketaatan dengan penuh kesungguhan, keikhlasan dan istiqamah♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 16 Jamadil Awwal 1446H☆

وَلَا یَحۡزُنكَ قَوۡلُهُمۡۘ إِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِیعًاۚ هُوَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu; kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui" [Surah Yūnus 65]

#Sambung bicara mengapa Allah swt melarang nabi saw dan begitu juga orang-orang yang beriman daripada bersedih dan berdukacita apabila dicemuh oleh musuh-musuh Islam.

#Kenapa tidak perlu bersedih? Ini kerana kekuasaan dan kemuliaan semuanya milik Allah swt. Maksud الْعِزَّةَ adalah القَهرُ (mengatasi), الغَلَبَة (mengalahkan), القُوَّة (kekuatan) dan المَنْعَة (menghalang).

#Maka tidak perlu bersedih, muram, kecewa, berdukacita kerana semua kekuatan, kekuasaan ada pada Allah swt, maka para musuh dan penghina tidak dapat menghalang dan mengalahkan baginda saw dan juga para pejuang di jalanNya.

#Mereka yang menentang ajaran yang disampaikan oleh baginda Nabi saw dan pewarisnya itu hendak menghina kita tetapi ingatlah bahawa kekuasaan dan kemuliaan yang sebenarnya milik Allah swt. Apabila para pejuang kebenaran dihina dan dikeji, mungkin akan ada rasa terhina, rasa tidak di hormati dalam hati kita. Maka, apa yang Allah swt sebut dalam ayat ini? Kekuasaan dan kemuliaan itu sememangnya hanya milik Allah swt. Sepenuhnya milik Allah swt dan bukannya pada tangan manusia dan bukan juga milik kita. Jangan kita rasa yang kita hilang sesuatu apabila orang menghina kita.

وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحۡزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلۡأَعۡلَوۡنَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِینَ

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman" [Surah Āali-ʿImrān 139]

#Golongan penentang merasakan mereka hebat, kuat, berkuasa dan ada kemuliaan. Anggapan mereka itu tersilap. Kekuasaan dan kemuliaan sebenarnya milik Allah semuanya (جَمِيعًا) dan Allah swt boleh bagi kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

#Oleh itu, jangan sesekali takut, sedih, kecewa tetapi kuatkanlah semangat kerana kebenaran di tangan kita orang Islam dan orang mukmin.

یَقُولُونَ لَىِٕن رَّجَعۡنَاۤ إِلَى ٱلۡمَدِینَةِ لَیُخۡرِجَنَّ ٱلۡأَعَزُّ مِنۡهَا ٱلۡأَذَلَّۚ وَلِلَّهِ ٱلۡعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلۡمُؤۡمِنِینَ وَلَـٰكِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِینَ لَا یَعۡلَمُونَ

"Mereka berkata lagi: " Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)". Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)" [Surah al-Munāfiqūn 8]

#Biarlah hari ini mereka hina dan ketawakan pejuang dan pendakwah Tauhid. Nanti di hari kiamat, orang beriman akan ketawakan mereka semula. Firman Allah swt:

فَٱلۡیَوۡمَ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مِنَ ٱلۡكُفَّارِ یَضۡحَكُونَ

" Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman pula tertawakan orang yang kafir itu"

عَلَى ٱلۡأَرَاۤىِٕكِ یَنظُرُونَ

"Sambil mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), serta melihat (hal yang berlaku kepada musuhnya)"

هَلۡ ثُوِّبَ ٱلۡكُفَّارُ مَا كَانُوا۟ یَفۡعَلُونَ

"(Untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): "Bukankah orang-orang yang kafir itu telah dibalas akan apa yang mereka telah kerjakan dahulu?" [Surah al-Muṭaffifīn 34-36]

♡Jika Nabi Muhammad saw pun dihina dan dicaci maki apatah lagi kita orang biasa yang hendak menyebarkan dakwah ini. Maka bersemangatlah, jangan sesekali berdukacita atas segala rintangan dalam menyebarkan dakwah dan kebenaran. Demi Islam!!♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 14 Jamadil Awwal 1446H☆

ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِۖ فَإِمۡسَاكُۢ بِمَعۡرُوفٍ أَوۡ تَسۡرِيحُۢ بِإِحۡسَٰنٖۗ

"Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik" [Surah al-Baqarah 229]
 
#Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah menyebut di dalam tafsirnya bahawa masyarakat Arab jahiliyyah pada waktu dahulu tiada satu sistem yang teratur untuk perceraian. Mereka sesuka hati boleh menceraikan isteri mereka dan sesuka hati rujuk kepada mereka meskipun sudah seratus kali bercerai. Ianya seolah-olah tiada berkesudahan. Islam datang kemudiannya untuk mengajarkan bahawa talak yang boleh dirujuk adalah sebanyak dua kali dan jika tidak mahu untuk dirujuk maka lepaskanlah isteri tersebut dengan baik tanpa menzaliminya.

#Ayat ini merupakan antara dalil pensyariatan talak bagi pasangan yang berkahwin namun tidak dapat mencari jalan keluar dalam menyelesaikan masalah rumahtangga mereka. Sepertinya hati telah bercerai namun mulut belum melafazkannya lagi, maka cara terakhirnya adalah dengan bercerai.

#Pun begitu, jika dapat di elakkan perceraian itu, maka carilah 1001 jalan untuk menyelamatkan rumahtangga tersebut. Ini kerana Islam melihat institusi kekeluargaan adalah satu institusi yang amat penting dalam melahirkan generasi-generasi yang hebat.

#Mengetahui hakikat kehidupan berkeluarga, awal-awal lagi Islam telah meletakkan garis panduan dalam memilih pasangan agar bahtera perkahwinan yang bakal dilayarkan dapat belayar dengan aman. Sekiranya badai melanda di tengah-tengah pelayaran, nakhoda tahu akan tugasnya untuk mengendali dan memandu bahtera tersebut betul pada laluannya kembali.

#Antara penyelesaian yang disarankan ialah dengan menjaga solat. Allah swt apabila bercerita ayat mengenai cerai seperti dalam surah  al-Baqarah (ayat 227-242), di celah ayat itu Allah swt menyebut sepotong ayat yang menyuruh umat manusia menjaga solat fardu lima waktu dan juga solat pertengahan (asar). Kemudian ayat itu membincangkan semula ayat mengenai cerai. Ulamak tafsir mengatakan sesiapa yang menjaga solat dengan sempurna, rumah tangga mereka akan kukuh dan bahagia.

#Al-Imam Burhanuddin al-Biqa’i menjelaskan isu perceraian ini adalah satu masalah yang sangat kompleks serta memenatkan jiwa dan akal manusia. Lalu Allah menawarkan solusi dalam menghadapi kemelut ini dengan arahan supaya menjaga solat. Katanya:

أمور الطلاق دائماً تشغل الإنسان، وتجعله مهموماً في النهار والليل، فلذلك قال تعالى: حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ

"Urusan perceraian ini sentiasa memenatkan manusia (jiwa dan fizikalnya), perceraian menjadikan manusia resah siang dan malam lalu Allah membimbing manusia (dengan arahan menghadapi situasi runcing ini) dengan mendirikan solat" (Lihat: al-Biqa’i, Nuzum al-Durar)

#Berkata Dr. Khalid al-Sabt:

إنه أورد ذكر الصلاة بين هذه الأحكام؛ ليدل على أن الاستعانة بالصلاة سبب للخروج من المشكلات التي تقع بين الناس

"Sesungguhnya Allah swt menyebutkan tentang arahan mendirikan solat dicelah perbincangan tentang hukum (perceraian) adalah bagi menunjukkan keperluan memohon bantuan dengan solat. Ia adalah jalan keluar kepada masalah yang dilalui oleh manusia".

#Sebahagian yang lain berpandangan dengan sebuah hadis yang menyebutkan:

الَّذِي تَفُوتُهُ صَلاَةُ العَصْرِ، كَأَنَّمَا وُتِرَ أَهْلَهُ وَمَالَهُ

"Mereka yang meninggalkan solat asar, seumpama mereka terputus hubungan dengan ahli keluarga dan harta mereka" (HR al-Bukhari)

#Ini menunjukkan betapa pentingnya solat dalam mencapai kebahagiaan dan ketenteraman dalam sesebuah rumahtangga.

♡Hiduplah dalam suasana penuh kedamaian dan pertahankanlah keutuhan sesebuah perkahwinan. Namun, jika segala usaha telah dilakukan untuk mempertahankan institusi kekeluargaan itu namun hanya perceraian sahaja jalan keluarnya, maka Islam membenarkannya♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 13 Jamadil Awwal 1446H☆

لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

"Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia" [Surah Yunus 64]

#Ada pula pendapat lain yang mengatakan الْبُشْرَىٰ yang dimaksudkan adalah kemasyhuran seseorang itu. Mereka menjadi masyhur kerana kebaikan dan kebajikan yang telah mereka dilakukan.

#Sebagai contoh, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Ju’fiy al-Bukhari. Al-Bukhari adalah nisbah kepada tempat kelahiran beliau iaitu Bukhara yang terletak di Khurasan. Namun beliau lebih terkenal dengan panggilan Imam al-Bukhari. Beliau telah menulis kitab sahihnya dan lihatlah bagaimana masyhur sekali kitab itu dan dengan beliau sekali turut masyhur. Masyhur dengan kebaikan yang telah dilakukan.

#Begitu juga dengan Abu Zakaria Yahya bin Syaraf bin Marri bin Hasan bin Husain bin Muhammad bin Jum’ah bin Hizam al-Dimasyqi. Lahir di Nawa, iaitu sebuah perkampungan yang terletak di Hauran, yang mana jaraknya lebih kurang 50 km dari selatan Damsyik. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Imam an-Nawawi. Beliau meninggal di usia muda namun kitab-kitabnya terkenal dan dijadikan rujukan di serata dunia sehingga hari ini.

#Sepertimana juga Kitab Sahih al-Bukhari itu dikaji dan dibaca oleh manusia seluruh dunia. Bila sebut Sahih Bukhari sahaja, semua akan terima hadis di dalamnya sebagai sahih belaka. Nama ‘Bukhari’ pun terkenal di mana-mana. Ibubapa menamakan anak mereka dengan nama Bukhari. Begitu juga Imam an-Nawawi, kitab hadis 40 karangannya terkenal di serta dunia dan beliau juga terkenal diserata dunia.

#Itulah الْبُشْرَىٰ kegembiraan atau kemasyhuran yang membahagiakan didunia atas kebaikan yang dilakukan.

#Ada pendapat lain lagi yang mengatakan bahawa الْبُشْرَىٰ itu adalah bantuan daripada Allah swt. Dalam usahanya untuk melakukan amalan yang baik, Allah mudahkan.

#Ada juga yang mengatakan mereka akan mendapat kefahaman dan ilmu agama yang luar biasa.

#Selain itu ada pendapat yang  mengatakan mereka mendapat berita baik tentang nasib mereka. Sebagai contoh, ada sahabat yang diberikan dengan berita gembira yang mereka akan menjadi ahli syurga semasa mereka di dunia lagi. Semasa mereka hidup lagi mereka sudah mendapat berita baik itu.

♡Semoga kita juga beroleh kebahagiaan yang menggembirakan didunia ini atas kebaikan yang dilakukan. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 11 Jamadil Awwal 1446H☆

لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

"Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia" [Surah Yunus 64]

#Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azhim, ketika menafsirkan ayat ini menyebut salah satu pendapat dengan menyertakan sebuah hadis daripada Sayidina ‘Ubadah bin al-Samit r.a, beliau bertanya kepada Rasulullah saw tentang ayat tersebut lalu Baginda saw menjawab:

هِيَ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُؤْمِنُ أَوْ تُرَى لَهُ

"Ia adalah mimpi yang baik, yang orang Mukmin bermimpi dengannya atau diperlihatkan kepadanya".

#Mimpi yang benar adalah satu perkara kemuliaan serta mempunyai kedudukan yang tinggi. Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Sayidina Ibn Abbas r.huma, Rasulullah saw bersabda:

لَمْ يَبْقَ مِنْ مُبَشِّرَاتِ النُّبُوَّةِ إِلاَّ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُسْلِمُ أَوْ تُرَى لَهُ

"Tidak terdapat lagi berita-berita gembira tentang kenabian kecuali mimpi yang benar yang dialami oleh seorang muslim, atau diperlihatkan kepadanya (mimpi itu)" (HR Muslim)

#Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ تَكْذِبُ رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ وَرُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ

"Apabila telah menghampiri zaman, mimpi seseorang yang beriman itu hampir tidak dusta, dan mimpi orang yang beriman itu satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian" (HR al-Bukhari)

#Daripada Sayidina Anas bin Malik r.a, Rasulullah saw bersabda:

الرُّؤْيَا الْحَسَنَةُ مِنْ الرَّجُلِ الصَّالِحِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ

"Mimpi baik yang berasal dari seorang yang soleh adalah satu bahagian dari 46 juzuk kenabian" (HR al-Bukhari)

#Berdasarkan riwayat-riwayat ini, mimpi yang benar oleh orang soleh dengan menepati ciri-ciri yang telah ditetapkan boleh menjadi pembawa berita gembira atau satu bentuk peringatan.

#Ibrahim bin Basyar berkata: Aku mendengar Ibrahim bin Adham menceritakan: Telah sampai kepadaku bahawa Hasan al-Basri pernah melihat Nabi saw dalam mimpinya. Lalu beliau berkata: Wahai Rasulullah, berilah aku nasihat. Baginda pun bersabda: "Barangsiapa yang hari-harinya sama (tidak ada peningkatan), maka dia adalah orang yang rugi. Dan barangsiapa yang esoknya lebih buruk daripada hari ini, maka dia adalah orang yang terlaknat. Barang siapa yang tidak memeriksa kekurangan pada dirinya, maka dia akan sentiasa dalam kekurangan. Dan barangsiapa yang terus dalam kekurangan, maka kematian lebih baik baginya" (Lihat: Hilyah al-Auliya’ wa Tabaqat al-Asfiya)

#Dikisahkan bahawa Mus‘ab bin al-Muqaddam pernah bermimpi bahawa Baginda Rasulullah saw pernah memegang tangan Imam Sufyan al-Thauri. Ini sebagaimana kata beliau: Aku melihat Nabi saw dalam tidur sedang memegang tangan Sufyan al-Thauri dan membalasnya dengan kebaikan, sambil berkata: Baik jalannya. (Lihat: Hilyah al-Auliya’,)

♡Mimpi orang soleh dan mimpi yang benar adalah mimpi yang boleh dijadikan teladan dan panduan dalam kehidupan. Moga kita beroleh mimpi indah. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

♡Moga kita sentiasa beroleh mimpi yang indah, baik dan menggembirakan. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 5 Jamadil Akhir 1446H☆

فَمَن تَابَ مِنۢ بَعۡدِ ظُلۡمِهِۦ وَأَصۡلَحَ فَإِنَّ ٱللَّهَ یَتُوبُ عَلَیۡهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورࣱ رَّحِیمٌ

"Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah al-Māʾidah 39]

#Sesiapa yang melakukan dosa dan maksiat lalu bertaubat kepada Allah swt, pasti akan diterima taubatnya dengan syarat dilakukan dengan penuh penyesalan dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.

#Imam Ibn al-Jauzi dalam Zam al-Hawa dengan sanadnya berkata: Al-Mu’tamir bin Sulaiman menceritakan kepada kami, katanya: Aku mendengar Abu Ka’ab menyampaikan daripada al-Hasan al-Basri, katanya:

Seorang wanita pelacur yang memiliki sepertiga kecantikan ini tidak boleh didapati kecuali dengan membayar dirinya dengan seratus dinar. Seorang ahli ibadah telah terlihatnya dan dia tertarik padanya. Dia kemudian pergi dan bekerja dengan usahanya sendiri, mengumpulkan seratus dinar, lalu datang kepada wanita tersebut dan berkata: “Kamu menarik perhatianku, aku kemudian pergi dan bekerja dengan usahaku sendiri dan mengumpulkan seratus dinar ini”.

Wanita itu berkata: “Bayarkan wang itu kepada qahraman sehingga dia boleh memeriksa dan menimbangnya. Dia melakukannya, lalu dia berkata: “Kamu telah memeriksa seratus dinar darinya?” Dia menjawab: “Ya.” Dia berkata: “Masuklah.” Dan dia memiliki kecantikan dan bentuk yang Allah lebih mengetahuinya.

Wanita itu berkata padanya, “Masuklah.” Dia masuk dan wanita itu memiliki tempat tidur dari emas. Kemudian wanita itu berkata, “Marilah padaku.” Ketika dia duduk di sisi wanita itu, dia teringat akan kedudukannya di hadapan Allah. Akibatnya, dia ditimpa petir dan nafsunya pun mati. Dia berkata pada wanita itu: “Biarkan aku keluar, dan seratus dinar itu akan menjadi milikmu. Wanita itu berkata: “Kenapa kamu melakukan ini setelah kamu telah melihatku dan tertarik padaku, lalu pergi dan bekerja keras untuk mengumpulkan seratus dinar? Ketika kau memiliki kemampuan atasku, kau melakukan apa yang kau lakukan ini?. Dia menjawab, “Ini adalah ketentuan Allah dan kedudukan aku di hadapan-Nya. Kamu sudah membenci aku.” Dia berkata, “Jika kamu berkata jujur, maka tidak ada yang akan menikahimu selain aku.” Dia berkata, “Biarkan aku keluar.”
Wanita itu berkata, “Tidak, kecuali jika kamu setuju untuk menikahiku.” Dia berkata, “Tidak sehingga aku keluar.” Wanita itu berkata, “Oleh itu, hendaklah kamu berjanji bahawa jika aku datang kepadamu, kamu akan berkahwin denganku.” Dia menjawab, “Baiklah.” Lalu dia mengambil pakaiannya dan pergi ke negerinya sendiri.

Wanita itu menyesal atas apa yang telah dia lakukan, sehingga wanita itu sampai ke negeri si ahli ibadah itu. Dia kemudian bertanya kepada penduduk negeri itu tentang nama ahli ibadah itu dan tempat tinggalnya, dan ditunjukkan kepada. Ahli ibadah itu diberitahu bahawa ratu (al-Malikah) datang untuk menanyakan tentang kamu.

Ketika dia melihatnya, dia terkejut dan meninggal dunia. Dia jatuh di tangan wanita itu, dan wanita itu berkata, “Aku telah kehilangan orang ini. Apakah dia memiliki saudara terdekat?” Mereka berkata, “Saudaranya adalah seorang lelaki miskin.” Wanita itu berkata kepada saudara ahli ibadah itu, “Sesungguhnya aku akan bernikah dengan kamu sebagai kasih sayang kepada saudara kamu.” Wanita itu pun menikahinya, dan Allah mengutus tujuh nabi daripada keturunannya.

#Kisah ini diceritakan oleh Ibn al-Jauzi dalam kitab Zam al-Hawa (hlm. 248-249) dengan sanadnya, Ibn Qudamah dalam al-Tawwabin (hlm. 51) dengan sanadnya dalam tajuk (تَوْبَةْ الْعَابِد وَالْمَرْأَة الْبَغِيّ) iaitu ‘Taubat seorang Ahli Ibadah dan Wanita Pelacur’. Juga dinukilkan daripada Ibn al-Qayyim al-Jauzi dalam kitab Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaqin (hlm. 503) yang mana kisah ini diceritakan al-Hasan al-Basri.

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 3 Jamadil Akhir 1446H☆

فَمَن تَابَ مِنۢ بَعۡدِ ظُلۡمِهِۦ وَأَصۡلَحَ فَإِنَّ ٱللَّهَ یَتُوبُ عَلَیۡهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورࣱ رَّحِیمٌ

"Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah Al-Māʾidah 39]

#Semua orang yang beriman tidak terlepas daripada dosa kecuali para nabi dan rasul yang maksu. Bila Allah swt menyeru hambaNya yang berdosa supaya bertaubat, ini bermakna Dia menawarkan keampunan untuk hambaNya kerana tidak ada erti perintah taubat tetapi bila hambaNya bertaubat Dia tidak mengampunkan.

#Allah swt menyeru hambaNya yang berdosa agar bertaubat kerana Dia mahu mengampunkan mereka. Maka sesiapa yang tidak merebut peluang ini maka dia tersangat sombong dan bodoh.

#Berkata Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari rahimahullah:

من تاب ظفِر، ومن لم يتب خسِر

"Siapa yang bertaubat menang, dan siapa yang tidak bertaubat kecundang"

كثير من أنفق الدنانير والدراهم، ولكن من أنفق الدمع قليل

"Ramai yang menafkahkan dinar dan dirham, tapi yang menafkahkan air mata sedikit"

كفى بك جهلاً أن يعاملك مولاك بالوفاء، وأنت تعامله بالجفاء

"Memadai kamu dikira sebagai jahil bila Tuanmu melayanmu dengan sempurna, namun kamu melayannya dengan sambil lewa".

#Imam Ibn Qudamah di dalam kitab at-Tawwabin (orang-orang yang bertaubat) menceritakan satu kisah yang menarik tentang tokoh yang bernama al-Qa’nabi dan kisah taubatnya:

"Dahulu ayahku seorang peminum nabiz (sejenis arak) dan berkawan dengan anak- anak muda. Pada suatu hari, beliau mengundang mereka (anak-anak muda untuk minum) dan saat itu beliau duduk di depan sebuah pintu menunggu kehadiran mereka lalu Syu’bah melalui tempat tersebut dengan menunggang keldainya yang dibelakangnya ramai orang yang berlari-lari mengikutinya.
Melihat peristiwa itu, al-Qa’nabi berkata: “Siapakah orang ini (yang menunggang keldai?”

Dikatakan kepadanya: “Syu’bah.” Beliau berkata lagi: “Siapa itu Syu’bah?". Orang-orang itu berkata: “Dia seorang ahli (tokoh) hadith.” Lalu al-Qa’nabi berdiri menghampiri Syu’bah yang memakai pakaian berwarna merah pada waktu itu sambil berkata kepadanya:
“Riwayatkan hadith kepadaku?” Maka Syu’bah berkata: “Kamu bukanlah seorang ahli hadith yang membuatkan aku harus untuk menyampaikan hadith kepada kamu.”

Mendengar jawapan itu, al-Qa’nabi menghunuskan pisaunya dengan berkata: “Riwayatkan hadith kepadaku atau aku akan mencederakanmu dengan pisau ini?. “Lalu Syu’bah berkata: “Telah menceritakan kepadaku Mansur, daripada Rib’iy, daripada Abu Mas’ud, beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

"Apabila kamu tidak malu, maka buatlah apa sahaja yang kamu suka" (HR al-Bukhari)

Setelah mendengar hadis tersebut, al-Qa’nabi membuang pisaunya lalu pulang ke rumahnya dan pergi menuju ke tempat simpanan nabiznya (araknya) lalu memecahkannya atau menumpahkannya kesemuanya. Tidak lama selepas kejadian itu, beliau pergi ke Madinah untuk menimba ilmu di hadapan Imam Malik bin Anas dan Imam Malik amat mempengaruhi dirinya. Setelah itu, beliau kembali ke Basrah yang pada saat itu Syu’bah telah pun meninggal dunia. Untuk itu, al-Qa’nabi tidak mendengar hadis daripada Syu’bah melainkan hadis ini (yang beliau dengar ketika beliau masih seorang pemabuk dan yang membuatkan dirinya bertaubat daripada perbuatannya tersebut). (Lihat: at-Tawwabin dan Syarah Hadis 40)

♡Jom taubat sebelum mati. Ya Allah terimalah taubat hambaMu ini. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 1 Jamadil Akhir 1446H☆

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا * وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

"Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya" [Surah At-Talaq 2-3]

#Dalam ayat ini diterangkan bahawa Allah swt akan menghilangkan bahaya dan memberikan jalan keluar bagi orang yang benar-benar bertakwa padaNya. Allah swt akan mendatangkan padanya berbagai manfaat berupa dimudahkannya rezeki. Rezeki adalah segala sesuatu yang dapat dinikmati oleh manusia. Rezeki yang dimaksud di sini adalah rezeki dunia dan akhirat.

#Begitulah sebaliknya, bagi orang yang tiada takwa maka akan dipersulitkan kehidupan dan segala urusannya.

#Berkata Imam Ibnul Qayyim rahimahullah: "Kesulitan yang menimpa seseorang sering kali terlihat dalam urusan-urusannya yang menjadi serba sulit. Setiap kali dia mencuba menghadapi suatu perkara, ia mendapati jalannya tertutup atau penuh kesulitan. Sebagaimana orang yang bertakwa kepada Allah akan dimudahkan dalam urusannya, maka siapa yang meninggalkan takwa akan mendapati urusannya menjadi sulit. Sungguh menghairankan! Bagaimana seorang hamba dapat merasakan bahawa pintu-pintu kebaikan dan kemaslahatan tertutup baginya, serta jalannya terasa penuh kesulitan, namun ia tidak menyedari dari mana asal kesulitan itu datang?" (Lihat: Ad-Daa’ wa Ad-Dawaa')

#Takwa pembuka jalan kesenangan dan kelapangan. Dosa, maksiat, kelalaian dan kejahatan penyebab kesulitan, kepayahan, disulitkan rezeki dan kehilangan keberkatan.

#Ibnul Qayyim rahimahullah berkata lagi:

وَكَمَا أَنَّ تَقْوَى اللَّهِ مَجْلَبَةٌ لِلرِّزْقِ فَتَرْكُ التَّقْوَى مَجْلَبَةٌ لِلْفَقْرِ، فَمَا اسْتُجْلِبَ رِزْقُ اللَّهِ بِمِثْلِ تَرْكِ الْمَعَاصِ

"Takwa kepada Allah menjadi kunci pembuka pintu rezeki, sedangkan lalai dalam takwa dapat mengundang kefakiran. Rezeki hanya akan mengalir ketika seseorang menjauhi segala bentuk maksiat"

#Ketahuilah, orang yang bertakwa, Allah memberi rezeki pada mereka dari jalan yang tidak disangka-sangka. Rezekinya tidak mungkin diperoleh dengan cara-cara yang haram, juga tidak mungkin rezeki mereka dari jalan yang kotor-kotor. Perlu diketahui bahawa orang yang bertakwa tidak mungkin dihalangi dari rezeki yang ia perlukan. Ia hanya dihalangi dari harta benda dunia yang berlebihan sebagai rahmat dan kebaikan padanya. Ini kerana, boleh jadi jika diluaskannya rezeki, akan membahayakan dirinya. Sedangkan disempitkannya rezeki malah mungkin sebagai rahmat baginya. Hal ini berbeza dengan keadaan manusia yang tiada takwa sebagaimana yang Allah ceritakan:

فَأَمَّا الْإِنْسَانُ إذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ * وَأَمَّا إذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ *كُلًّا

Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakanNya dan diberiNya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku. Sekali-kali tidak (demikian)" [Surah al-Fajr 15-17]

#Sebenarnya tidak demikian. Belum tentu orang yang diluaskan rezekinya, itu bererti dia dimuliakan. Sebaliknya orang yang disempitkan rezekinya, belum tentu dia dihinakan. Bahkan boleh jadi seseorang dilapangkan rezeki baginya hanya sebagai istidraj (agar ia semakin terlena dengan maksiatnya). Begitu pula boleh jadi seseorang disempitkan rezekinya untuk melindungi dirinya dari bahaya. Sedangkan jika ada orang yang soleh yang disempitkan rezekinya, boleh jadi itu kerana sebab dosa-dosa yang ia lakukan.

♡Jadilah hambaNya yang bertakwa, moga Allah permudahkan segala urusan kita dunia akhirat. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 28 Jamadil Awwal 1446H☆

سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

"(Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan/kesempitan" [Surah at-Talaq 7]

#Imam Ibnul Jauzi, Imam asy-Syaukani dan ahli tafsir lainnya mengatakan: "Setelah kesempitan dan kesulitan, akan ada kemudahan dan kelapangan"

#Imam Ibnu Katsir mengatakan: "Janji Allah itu pasti dan tidak mungkin Dia mengingkarinya"

#Nabi saw bersabda:

وَأَنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً

"Bersama kesulitan, ada kemudahan" (HR Ahmad)

#Oleh itu, masihkah ada keraguan di dalam hati seorang mukmin dengan janji Allah dan RasulNya ini?.

#Berdasarkan ayat ini, terdapat rahsia di sebalik kesulitan, akan datang kemudahan yang sangat hampir. Apakah rahsianya itu?

#Imam Ibnu Rajab telah mengatakan: "Jika kesempitan itu semakin terasa sulit dan semakin berat, maka seorang hamba akan menjadi putus asa dan demikianlah keadaan makhluk yang tidak dapat keluar dari kesulitan. Akhirnya, dia pun menggantungkan hatinya pada Allah semata. Inilah hakikat tawakkal padaNya. Tawakkal inilah yang menjadi sebab terbesar keluar dari kesempitan yang ada, kerana Allah swt sendiri telah berjanji akan mencukupkan orang yang bertawakkal padaNya".

#Firman Allah swt:

وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

"Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan nya)" [Surah at-Talaq 3]

#Inilah rahsia yang sebahagian daripada kita mungkin belum mengetahuinya. Jadi jawapannya, tawakkallah yang menjadi sebab terbesar seseorang keluar dari kesulitan dan kesempitan kepada kemudahan dan kedamaian.

♡Ya Allah, jadikanlah kami termasuk di kalangan hamba yang sabar dalam menghadapi setiap ketentuanMu. Jadikanlah kami sebagai hambaMu yang sentiasa bertawakkal dan bergantung padaMu. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 26 Jamadil Awwal 1446H☆

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَـٰمُوا۟ تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَبْشِرُوا۟ بِٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan), "Janganlah kamu takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperolehi) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu" [Surah Fusshilat 30]

#Imam Abdullah bin al-Mubarak rahimahullah meriwayatkan bahawa Imam Hasan al-Basri apabila membaca ayat ini, beliau akan berdoa:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا فَارْزُقْنَا الِاسْتِقَامَةَ

"Ya Allah, Engkau Tuhan kami. Rezekikan kami istiqamah" (Lihat: Ibn al-Mubarak, Az-Zuhd wa al-Raqaiq)

#Istiqamah adalah satu rezeki. Maka kita perlu berusaha agar direzekikan sifat istiqamah disepanjang hidup kita dengan kekal beriman kepadaNya dan sentiasa mentaatiNya hingga hujung nyawa.

#Dikisahkan seorang utusan nabi saw, Sayidina Habib bin Zaid r.a, ditugaskan membawa surat atau perutusan Nabi saw kepada Musailamah al-Kazzab, si nabi palsu.

#Sayidina Habib r.a pada ketika itu adalah seorang anak muda yang dikatakan sekitar usia 18 tahun. Ketika surat yang dibawa sampai kepada Musailamah, maka bertambahlah kemarahan Musailamah sehinggakan beliau mengarahkan Sayidina Habib ditangkap dan diikat untuk dibicarakan. Keesokan harinya, Sayidina Habib diseret dalam keadaan kaki dan tangannya terikat dan dibawa ke tengah khalayak pengikut Musailamah untuk dibicarakan. Wajahnya tampak tenang.

Saat Musailamah bertanya kepada Sayidina Habib, adakah beliau mengakui bahawa Muhammad itu utusan Allah dan Sayidina Habib mengatakan: "Ya", dan apabila Musailamah mengatakan: Adakah aku juga utusan Allah? Lantas dengan sinis Sayidina Habib menjawab: "Telinga aku pekak sehinggakan tidak mendengar apa yang engkau katakan".

Maka kemarahan Musailamah bertambah dan diarahkan pengawal yang menjaga untuk memotong anggota badan Sayidina Habib. Lalu dipotong pergelangan tangannya lantas jatuh ke bumi. Lalu ditanya perkara yang sama, dan beliau menjawab perkara sama. Lalu dipotong pula pergelangan tangannya yang sebelah lagi. Pertanyaan itu berulang dan setiap kali itu jugalah, jawapan Sayidina Habib tetap sama.
Maka, setiap kali Sayidina Habib menjawab, maka dipotong anggota badannya sehingga dikatakan dipotong kedua-dua belah tangannya sehingga ke paras bahu. Selepas itu, dipotong juga kakinya sehingga ke paras lutut dan akhirnya Sayidina Habib menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan tidak ada satu pun daripada belahan pedang yang mampu memisahkan dirinya daripada beriman kepada Allah swt.

#Begitulah benarnya tahap keimanan dan istiqamahnya mereka yang benar-benar mengakui bahawa Allah adalah Tuhan Yang Esa dan Nabi Muhammad itu pesuruhNya.

♡Marilah kita berdoa kepada Allah swt agar diperteguhkan hati dan dikurniakan sifat istiqamah. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 24 Jamadil Awwal 1446H☆

وَلِمَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ جَنَّتَانِ

"Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga" [Surah ar-Rahman 46]

#Takut pada Allah swt. Takut melakukan dosa. Takut azab neraka. Takut akan suasana di mahsyar kelak. Takut hisab di akhirat kelak. Ini semua takut yang menginsafkan dan menjadikan seseorang kuat melakukan amalan ketaatan serta amal-amal soleh.

#Berkata Imam Ibnu Kathir rahimahullah: "Siapa yang takut pada TuhanNya, sehingga ia:

1. Menahan hawa nafsu
2. Tidak melampaui batas
3. Tidak mementingkan urusan dunia
4. Tahu bahawa mengejar akhirat itu lebih baik dan akhirat itu kekal
5. Menjalankan kewajipan pada Allah
6. Menjauhi larangan Allah

maka orang seperti itu pada hari kiamat akan dikurniakan dua syurga.

#Syaikh as-Sa’di rahimahullah menyatakan: "Kesan daripada orang yang takut pada Allah adalah meninggalkan larangan dan melaksanakan perintah. Itulah yang mendapatkan dua syurga. Dua syurga itu terdapat bejana, perhiasan, bangunan dan isi lainnya yang terbuat dari emas. Salah satu dari dua syurga itu diperuntukkan kerana meninggalkan yang diharamkan. Dan sgurga lainnya diperuntukkan kerana melakukan ketaatan yang diperintahkan" (Lihat: Tafsir As Sa’di)

#Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda:

لاَ يَلِجُ النَّارَ رَجُلٌ بَكَى مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ حَتَّى يَعُودَ اللَّبَنُ فِي الضَّرْعِ وَلاَ يَجْتَمِعُ غُبَارٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَدُخَانُ جَهَنَّمَ  ‏

"Tidak akan masuk neraka seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah swt sehinggalah susu masuk semula ke dalam kantungnya. Tidaklah akan berkumpul debu di jalan Allah dengan asap api neraka" [Jami’ at-Tirmizi, hasan sahih]

#Muhammad bin Al-Mubarak as-Souri berkata:

ثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُبَارَكِ الصُّورِيُّ ، قَالَ: رَأَيْتُ سَعِيدَ بْنَ عَبْدِ الْعَزِيزِ إِذَا فَاتَتْهُ الصَّلاةُ يَعْنِي فِي الْجَمَاعَةِ أَخَذَ بِلِحْيَتِهِ وَبَكَى

"Aku pernah melihat Sa’id bin Abdul ‘Aziz terlepas solat berjemaah, lalu beliau memegang janggutnya sambil menangis" [Hilyatul Awliya’, Sa’id bin ‘Abdul)

#Oleh itu, banyakkanlah lakukan amal soleh, sentiasa bangun solat malam, melazimi bacaan al-Quran dan berzikir, kuatkan pergantungan pada Allah swt serta bertawakkal hanya kepadaNya.

#Berkata Sayidina Sahl bin Saad r.a:

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ، قَالَ: جَاءَ جِبْرِيلُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ:

Sayidina ahl bin Sa’ad r.a berkata: "Jibril telah datang kepada Nabi saw lalu berkata:

يَا مُحَمَّدُ، عِشْ مَا شِئْتَ فَإِنَّكَ مَيِّتٌ

"Ya nabi Muhammad. Hiduplah semahu engkau, sesungguhnya engkau akan mati"

وَاعْمَلْ مَا شِئْتَ فَإِنَّكَ مَجْزِيٌّ بِهِ

"Beramallah dengan apa yang engkau mahu, sesungguhnya engkau akan dibalas"

وَأَحْبِبْ مَنْ شِئْتَ فَإِنَّكَ مُفَارِقُهُ

"Cintailah sesiapa yang engkau mahu, sesungguhnya engkau akan berpisah daripadanya"

وَاعْلَمْ أَنَّ شَرَفَ الْمُؤْمِنِ قِيَامُ اللَّيْلِ

"Ketahuilah, kemuliaan seorang beriman ialah bangun malam,

وَعِزَّهُ اسْتِغْنَاؤُهُ عَنِ النَّاسِ

dan kekuatannya ialah ketidak bergantungannya kepada manusia" [HR at-Thabrani. Hadis hasan lighairihi)

♡Takut kepada Allah swt merupakan jalan ke Syurga!!Semoga Allah menjadikan kita orang yang takut padaNya. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 22 Jamadil Awwal 1446H☆

یَقُولُ یَـٰلَیۡتَنِی قَدَّمۡتُ لِحَیَاتِی

Ia akan berkata: "Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!" [Surah Al-Fajr 24]

#Ayat ini memaklumkan kepada kita tentang penyesalan yang teramat sangat yang berlaku di mahsyar kelak apabila seseorang itu datang mengadap Allah swt dalam keadaan tidak membawa amal soleh yang dapat menyelamatkannya.

#Penyesalan pada saat itu sudah tidak berguna lagi dan sudah terlambat. Penyesalan yang tiada jalan keluar. Penyesalan yang menyebabkan penderitaan dan kesengsaraan.

#Ia akan berfikir untuk kembali ke masa lalu dan berkata: “Andai waktu dapat diputar kembali…” namun keinginan hanyalah keinginan. Manusia tidak mampu berkehendak sesuka hati, kerana memutar waktu tidak semudah membalikkan telapak tangan. Bahkan ia adalah mustahil kerana dunia sudah tidak ada lagi. Yang ada hanyalah balasan samada kebahagiaan atau kesengsaraan.

#Seringkali saat ini, kita melihat banyak orang yang mensia-siakan waktu dan umurnya. Kebanyakan kita mengisinya dengan melakukan perbuatan maksiat, melalaikan kewajipan beribadah, dan tidak memanfaatkan umurnya dengan melakukan perkara yang baik dan berpahala. Akhirnya semua akan kembali ke tempat asal iaitu tanah. Yang gemar beribadah dan mengikuti aturan hidup dengan baik akan mendapatkan hasilnya berupa kenikmatan, sedangkan yang gemar bermaksiat dan lalai daripada mentaati Allah swt, akan menyesali perbuatannya selama ia hidup didunia.

#Sheikh al-Tantawi menukilkan kata-kata daripada Sayidina Umar bin al-Khattab r.a yang membenci melihat seseorang yang duduk bersahaja tanpa melakukan apa-apa amalan tidak kira amal untuk dunianya atau akhiratnya. Kata Sayidina Umar r.a:

إنّى لَأَكْرَهُ لأَحَدِكُمْ أَنْ يَكُونَ خَالِياً، لاَ فِيْ عَمَلِ دُنْيَا وَلاَ دِيْن

"Aku membenci salah seorang dari kamu yang duduk bersahaja (dalam masa kosongnya). Tidak melakukan amalan samada amal untuk dunianya atau agamaNya" (Tafsir al-Wasit, Sayyid Al-Tantawi)

#Imam as-Syafi’i rahimahullah berkata tentang pentingnya menjaga waktu: "Aku pernah bersama seorang sufi. Aku tidaklah mendapatkan pelajaran darinya selain dua perkara:

1. Pertama, dia mengatakan bahawa waktu bagaikan pedang. Jika kamu tidak memotongnya (memanfaatkannya), maka dia akan memotongmu.
2. Kedua, jika dirimu tidak disibukkan dengan hal-hal baik, pasti kamu akan disibukkan dengan hal-hal yang sia-sia (batil)" (Lihat: Al-Jawabul Kafi)

#Hayatilah firman Allah swt ini agar kita tidak menyesal di akhirat kelak:

وَأَنذِرۡهُمۡ یَوۡمَ ٱلۡحَسۡرَةِ إِذۡ قُضِیَ ٱلۡأَمۡرُ وَهُمۡ فِی غَفۡلَةࣲ وَهُمۡ لَا یُؤۡمِنُونَ

"Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman" [Surah Maryam 39]

♡Siapkan amal soleh dan Amal baik semaksimum dan seikhlasnya, moga kita tidak menyesal di akhirat kelak. Sesal dahulu, agar kebahagiaan dinikmati. Sesal kemudian, bakal menempuh penderitaan dan kesengsaraan!!♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

*SEDEKAH JUMAAT: WAKAF 4x4 UNTUK JABATAN AMAL BALING BAGI GERAK KERJA MISI BANTUAN DAN KEBAJIKAN*

Klik dan sumbang:
https://toyyibpay.com/WAQAF-KENDERAAN-JAM-BALING

Assalamualaikum wbt...

Jabatan Amal Malaysia Kawasan Baling, Kedah memohon jasa baik Geng Talaqqi untuk membantu mencari dana bagi pembelian sebuah kenderaan untuk kegunaan pihak jabatan amal Baling bagi memudahkan gerak kerja misi bantuan dan kebajikan.

Wakaf kenderaan 4x4 ini adalah satu inisiatif untuk membantu pihak jabatan amal menyediakan sebuah kenderaan yang akan digunakan dan memberi manfaat kepada gerak kerja kebajikan terutama untuk misi bantuan golongan yang memerlukan dan membawa peralatan dimusim banjir dan bencana.

*DANA YANG DIPERLUKAN: RM50,000*

InsyaAllah setiap golekan tayarnya menjana pahala yang berganda dan berpanjangan setiap kali kerja kebajikan dijalankan..

Daripada Sayidina Abi Mas’ud al-Ansari r.a berkata:

"Bahawa seorang lelaki telah menginfakkan seekor unta (kenderaan) yang bercucuk hidungnya (tali) pada jalan Allah, lantas Rasulullah saw bersabda: “Bagi kamu dengannya pada Hari Kiamat nanti tujuh ratus unta (kenderaan) yang telah diikat tali pada hidungnya" (Riwayat Muslim)

Mudah-mudahan dengan infak, sedekah, wakaf tunai atau zakat yang di hulurkan bagi mencukupkan dana bagi pembelian 4x4 ini menjadi asbab dibuka salah satu dari pintu syurga untuk kita dan dilepaskan dari azab Allah swt kelak.

Sumbangan anda sangat-sangat dihargai dan didahulukan dengan ucapan jazakumullahu khairan kathira. Semoga Allah memberi rahmat ke atas para penyumbang sekeluarga. Aamiiin
===========
*Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Toyyip Pay:*

https://toyyibpay.com/WAQAF-KENDERAAN-JAM-BALING

*Atau terus ke akaun:*

*Pertubuhan Kebajikan Ilmu dan Amal Selangor
*Maybank_5629_9101_9074
*Cimb_8604_7707_81
*Remark: Waqaf Kenderaan JAM Baling

*SMS/Whatsapp slip/bukti sumbangan kepada:*

📲Ust Naim: http://www.wasap.my/60196023803/WaqafKenderaanJAMBaling

📲Tn Abu Umar: http://www.wasap.my/60193113501/WaqafKenderaanJAMBaling

📲Tn Akmalizan: http://www.wasap.my/60172722696/WaqafKenderaanJAMBaling

📲Puan Zarina: http://www.wasap.my/60193223501/WaqafKenderaanJAMBaling

*ANDA HULUR, KAMI SALUR*

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 19 Jamadil Awwal 1446H☆

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَٰشِعِينَ

"Dan mohonlah bantuan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya ia teramat berat melainkan kepada orang yang khusyuk" [Surah al-Baqarah 45]

#Sabar dan solat adalah penawar keresahan, kegelisahan, kemurungan dan kesedihan.

#Di sepanjang hidup kita, pelbagai ujian suka duka yang kita lalui. Ada masa kita rasa sangat sunyi, sepi, hampa, kecewa, murung dan sedih sehinggakan mahu nyawa kita segera di ambil Allah swt.

#Yakinlah bahawa setiap resah gelisah itu ada penawarnya. Setiap masalah ada jalan keluarnya, dan setiap liku ada penyelesaiannya.

فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ یُسۡرًا * إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ یُسۡرࣰا

"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan"  [Surah ash-Sharḥ 5-6]

#Penawar yang disebutkan dalam ayat diatas ialah dengan sabar dan solat. Merayulah dan menangislah serta mengadulah kepada Allah swt dengan solat. Merintih dan luahkan segala kekecewaan dalam solatmu. Bersujud lama-lama dan ceritakanlah satu-persatu kepada Tuhan yang mencipta hati kita dalam solatmu.

#Diriwayatkan pada suatu hari, Sayidina Ibn Abbas r.a mendengar berita kematian saudaranya Qutham r.a saat beliau dalam permusafiran. Terduduk beliau, sedihnya tidak dapat dilukiskan. Adik-beradik yang dikasihi, teman sepermainan sedari kecil, telah pergi meninggalkannya jauh ke alam yang lain. Pun begitu Sayidina Ibn Abbas r.a sedar, beliau ada Allah swt, justeru beliau mampu bertahan. Dalam panas terik matahari, beliau mengerjakan solat dalam tempoh yang lama. Selesai solat beliau mengungkapkan satu ayat yang menggugah jiwa orang beriman:

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَٰشِعِينَ

"Dan mohonlah bantuan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya ia teramat berat melainkan kepada orang yang khusyuk" [Surah al-Baqarah 45]

#Berkata al-Razi rahimahullah:

لِأَنَّ الْمُشْتَغِلَ بِالصَّلَاةِ لَا بُدَّ وَأَنْ يَكُونَ مُشْتَغِلًا بِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَذِكْرِ جَلَالِهِ وَقَهْرِهِ وَذِكْرِ رَحْمَتِهِ وَفَضْلِهِ

“Kerana orang yang sibuk dengan solat pastilah akan sibuk dengan zikrullah azza wa jalla, dan mengingati ketinggian dan kekuatanNya, juga mengingati rahmat serta kelebihanNya" (Lihat: Tafsir al-Kabir)

#Oleh itu, tatkala seseorang berhadapan dengan sebarang masalah, bersabarlah dan solatlah.

#Ada masalah keluarga, sabar dan solatlah. Ada masalah anak-anak, sabar dan solatlah. Ada masalah dengan pasangan, sabar dan solatlah. Ada masalah kerja, sabar dan solatlah. Ada masalah kewangan, sabar dan solatlah. Ada apa-apa masalah, maka sabar dan solatlah. Berbahagialah orang yang sentiasa bersahabat dengan solat.

♡Perlu diingatkan, tidak cukup dengan solat sahaja malah mesti ada kesabaran. Gabungan kedua-dua ibadah inilah yang akan memberikan kekuatan kepada kita dalam menghadapi sebarang ujian dan permasalahan♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 17 Jamadil Awwal 1446H☆

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَیِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفࣰا مِّنَ ٱلَّیۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَـٰتِ یُذۡهِبۡنَ ٱلسَّیِّـَٔاتِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّ ٰ⁠كِرِینَ

"Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat" [Surah Hūd 114]

#Ayat ini memahamkan kita bahawa sesiapa yang melakukan dosa maka tebuslah dosa tersebut dengan melakukan solat penuh khusyuk dan mengharapkan pengampunan Allah swt.

#Diriwayatkan suatu hari Sayidina Abu al-Yasar al-Ansari r.a bertemu Rasulullah saw untuk mengakui kesilapan dan ketelanjurannya yang gagal menguruskan cinta dengan sebaik-baiknya. Cerita ini disampaikan oleh Sayidina Abdullah bin Mas`ud r.a:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي عَالَجْتُ امْرَأَةً فِي أَقْصَى الْمَدِينَةِ وَإِنِّي أَصَبْتُ مِنْهَا مَا دُونَ أَنْ أَمَسَّهَا فَأَنَا هَذَا فَاقْضِ فِيَّ مَا شِئْتَ

"Wahai Rasulullah saw, aku telah bermesraan dengan kekasihku di pinggir kota, aku telah melakukan segalanya melainkan hubungan intim. Ini aku, hukumlah aku semahumu.

Sayidina Umar r.a mencelah:

لَقَدْ سَتَرَكَ اللَّهُ لَوْ سَتَرْتَ نَفْسَكَ

"Allah swt akan menutup aibmu jika kamu menutup aibmu".

Rasulullah saw diam tidak berkata apa-apa. Sayidina Abu al-Yasar r.a mungkin dalam keadaan buntu, lalu bangun membawa diri. Selepas itu Rasulullah saw meminta sahabatnya memanggil semula Sayidina Abu al-Yasar. Lalu baginda saw membacakan ayat ini:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَيِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ ٱلَّيۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَٰتِ يُذۡهِبۡنَ ٱلسَّيِّـَٔاتِۚ ذَٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ (114)

"Dan dirikanlah solat pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya segala perbuatan yang baik menghapuskan segala perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat" (Surah Hud 114) (Lihat: Sahih Muslim)

#Dalam riwayat yang lain, Rasulullah saw bertanyakan Sayidina Abu al-Yasar r.a: "Adakah kamu solat bersama kami?". Dia mengiyakannya. Lalu baginda saw berkata,  قَدْ غُفِرَ لَكَ iaitu dosamu telah diampuni" (Sahih Muslim)

#Boleh juga merujuk sahih Muslim bahawa terdapat lagi kisah lebih panjang yang diriwayatkan oleh Sayidina Abu Umamah r.a (Sahih Muslim)

#Dalam menguruskan cinta, kasih sayang dan hubungan sebelum kahwin, ada masa dan ketikanya seseorang itu terkhilaf, terlanjur atau tersalah langkah. Yang penting bagaimana membetulkan semula kesilapan dan dosa tersebut. Apabila terkhilaf dan terlanjur, maka kembalilah kepada Allah swt terutamanya dengan cara mendirikan solat. Solat dan mengadulah kekhilafan kita kepadaNya dan bertaubatlah dengan taubat yang Bersungguh-sungguh.

♡Solat dapat menghapuskan dosa. Maka pastikan kita sentiasa mendirikan solat fardhu dan solat sunat. Moga segala dosa kita diampuni dan dihapuskan. Aamiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 15 Jamadil Awwal 1446H☆

وَلَا یَحۡزُنكَ قَوۡلُهُمۡۘ إِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِیعًاۚ هُوَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu; kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui" [Surah Yūnus 65]

#Ayat ini berupa pujukan Allah swt kepada Nabi Muhammad saw, para pejuang dan juga para pendakwah. Allah swt memujuk Nabi Muhammad saw dan begitu jugalah kepada para pendakwah yang menyeru kepada Tauhid, agar jangan merasa sedih, kecewa atau dukacita dengan kata-kata hina manusia kepada mereka.

#Jangalah terlalu bersedih dengan tuduhan yang mereka lemparkan. Ini kerana baginda Nabi Muhammad saw pun telah ditolak dakwahnya, dikeji, dihina, dicaci, di tuduh dengan pelbagai tuduhan jahat bahkan dihalau oleh kaumnya sendiri. Begitu juga dengan kita yang menyebar ajaran Islam, berjuang untuk mendaulatkan Islam dan berdakwah mengajak manusia kepada Islam agar tabah dan sabar serta jangan terlalu bersedih hati atau berduka lara.

#Mereka menuduh para pendakwah sebagai sesat, menyibuk hal orang dan memecah belahkan masyarakat. Memang sakit, kecewa dan pedih di hati. Akan tetapi Allah swt mengatakan, jangan berdukacita atau berduka lara dengan kata-kata mereka.

#Allah swt memujuk Nabi Muhammad saw kerana baginda ditolak semenjak hari pertama baginda berdakwah lagi. Iaitu ketika baginda memanggil ahli keluarganya untuk hadir majlis kenduri dan baginda hendak menyampaikan ajaran Tauhid. Kemudian ketika baginda memanggil kaumnya dan baginda sampaikan ajaran dan pesanan dari atas bukit, maka mereka mula isytiharkan permusuhan dengan Nabi saw. Mereka mula menuduh dengan pelbagai tuduhan.

#Maka Allah swt memujuk nabi saw dengan menurunkan firmanNya:

وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَا یَقُولُونَ وَٱهۡجُرۡهُمۡ هَجۡرࣰا جَمِیلࣰا

"Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik" [Surah al-Muzzammil 10]

#Allah swt melarang baginda Nabi saw bersedih dengan berlebihan. Jangan dibiarkan perasaan sedih berlarutan sehingga merosakkan diri sendiri. Perasaan sedih yang keterlaluan boleh menyebabkan kehidupan terganggu dan tidak keruan. Ia boleh menyusahkan hidup apabila hilang fokus untuk melakukan sebarang pekerjaan. Tambahan pula syaitan amat suka kalau manusia bersedih dan merekalah antara sebab manusia bersedih. Firman Allah swt:

إِنَّمَا ٱلنَّجۡوَىٰ مِنَ ٱلشَّیۡطَـٰنِ لِیَحۡزُنَ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَلَیۡسَ بِضَاۤرِّهِمۡ شَیۡـًٔا إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡیَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ

"Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri"
[Surah al-Mujādilah 10]

♡Pejuang dan pendakwah mesti kental. Tidak mudah panas dan koyak. Syaitan mahu kita bersedih supaya kita lemah semangat untuk berdakwah dan berjuang. Ramai yang sentap dan patah semangat ketika seruannya sering ditolak hingga meninggalkan dakwah selamanya. Maka syaitanlah yang menang. Oleh itu, jangan hiraukan mereka yang menentang itu tetapi fokus kepada tujuan utama iaitu menjaga agama dan teruskan beribadah♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

*SEDEKAH JUMAAT: RAYUAN SUMBANGAN BAIK PULIH PASTI AL-FATEH, KG BAHARU, BENTONG, PAHANG*

Klik dan sumbang:
https://toyyibpay.com/BAIK-PULIH-PASTI-AL-FATEH

Assalamualaikum wbt.

*Alhamdulillah, pihak pengurusan telah BERJAYA mendapatkan sebuah premis lot RUMAH 2 TINGKAT (rumah kampung) untuk dijadikan PASTI AL-FATEH hasil daripada WAKAF seorang yang DERMAWAN di kalangan orang tempatan di kawasan perumahan Kg Baharu, Bentong*.. Syukur, alhamdulillah..

Oleh itu, penambahbaikan dan pengubahsuaian perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan para pelajar dan guru-guru Pasti al-Fateh.

*DIPERLUKAN: RM30 RIBU*

*Antara penambahbaikan yang akan dilakukan ialah:*

1. Cat baru
2. Cermin tingkap
3. Tandas (pasang shower, singki, tangki pam tandas, atap)
4. Tangga - akan dibuat tangga batu (simen) beserta pagar
5. Pintu masuk ke kelas
6. Menggantikan papan dinding yang rosak
7. Paip air
8. Wiring - tukar soket, lampu dan tambah bilangan kipas

*InsyaAllah, sasaran bermula operasi 2025*

Pihak Geng Talaqqi mengalu-alukan kepada sahabat dermawan semua untuk sama-sama berkongsi rezeki dengan menghulurkan sumbangan bagi melancarkan kerja-kerja pembinaan Pasti al-Fateh, penambahbaikan dan pengubahsuaian PASTI AL-FATEH ini.

Firman Allah swt:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

"Dan saling membantulah kamu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan" [Surah al-Ma’idah ayat 2]

*Jazakumullahu khairan kathira, semoga setiap sen yang tuan/puan sumbangkan akan memudahkan setiap langkah perjalanan kita menuju ke syurga Allah kelak*.. Aamiiin
=================
*Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Toyyib Pay:*

https://toyyibpay.com/BAIK-PULIH-PASTI-AL-FATEH

*Atau transfer/bank in ke akaun:*

*Pertubuhan Kebajikan Ilmu dan Amal Selangor
*Maybank_5629_9101_9074
*Cimb_8604_7707_81
*Remark: BAIK PULIH PASTI AL-FATEH BENTONG

SMS/Whatsapp slip/bukti sumbangan kepada:

📲Ust naim: http://www.wasap.my/60196023803/BaikPulihPastiAlFatehBentong

📲Tn Abu Umar: http://www.wasap.my/60193113501/BaikPulihPastiAlFatehBentong

📲Tn Akmalizan: http://www.wasap.my/60172722696/BaikPulihPastiAlFatehBentong

📲Puan Zarina: http://www.wasap.my/60193223501/BaikPulihPastiAlFatehBentong

*ANDA HULUR, KAMI SALUR*

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 12 Jamadil Awwal 1446H☆

لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

"Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia" [Surah Yunus 64]

#Apakah maksud الْبُشْرَىٰ?
Ada pendapat mengatakan ia adalah mimpi yang baik-baik (ru’ya solehah). Hal ini terdapat dalilnya di dalam hadis nabi saw.

#Mimpi yang indah-indah itu yang memberi keseronokan kepada mereka. Mimpi itu akan memberitahu kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah benar. Ia adalah atas wahyu yang sedia ada, bukannya menjadi wahyu yang baru. Ia adalah hanya untuk memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan apa yang telah di usahakan.

#Imam Ibnu Jauzi rahimahullah dalam Manaqib Imam Ahmad mengisahkan mimpi Imam Abdullah ibn Mubarak, katanya: "Aku bermimpi melihat Permaisuri Zubaidah dan aku bertanya, apa yang Allah lakukan terhadapnya?

Jawabnya: "Allah mengampunkan dosaku pada awal kapak/cangkul atau galian telaga yang menghala ke kota suci Makkah".

*Zubaidah - iaitu Amatul Aziz binti Ja’far bin Abi Ja’far al-Mansur, digelar dengan Zubaidah yang merupakan wanita penting bagi kerajaan Abbasiyah. Beliau merupakan cucu kepada pengasas kerajaan Abbasiyah, Khallifah Abu Ja’far al-Mansur dan juga permaisuri kepada Khalifah Harun ar-Rasyid. Di samping itu, beliau adalah ibu kepada Khalifah al-Amin.

*Permaisuri Zubaidah membina saliran dan telaga yang dikenali sebagai Ain Zubaidah dan orang ramai menggelarkannya sebagai saqiyatu al-Hajij (perempuan yang memberi minum kepada jemaah haji). Mata Air Zubaidah terletak di wadi Nu’man. Dulu, dari sana airnya disalurkan hingga ke Arafah kemudian ke wadi ‘Uranah, lalu ke Makkah. Mata air Zubaidah dulu merupakan tempat yang sangat bermanafaat untuk penduduk Makkah dan jemaah haji.

Kemudian, Imam Abdullah ibn al-Mubarak bertanya apa sebab ada sedikit tompokan kuning pada wajah Zubaidah? Jawabnya: “Percikan api dengan sebab salah seorang yang mati di kalangan kami dikebumikan bersama kami yang bernama Bisyr al-Muraishi dan disambar dengan api. Menyebabkan gementar tubuhku.”

Kemudian, aku (Ibn Mubarak) bertanya: "Bagaimana kedudukan Imam Ahmad bin Hanbal?” Katanya: “Ketika ini Ahmad telah berpisah dan berada pada seekor burung dari permata yang putih yang ingin menziarahi Tuhan Yang Maha Perkasa". Lantas, aku bertanya: "Kenapa Imam Ahmad berada pada tahap itu?". Jawabnya: “Kerana kata-katanya bahawa al-Quran ialah kalam Allah yang bukan makhluk.”

Berdasarkan mimpi ini, jelas menunjukkan bahawa kapak atau cangkul yang digunakan untuk membuat telaga dan usaha yang dilakukannya telah mendapat keampunan Allah swt.

Adapun Bisyr al-Muraishi yang mendapat azab seksaan kerana beliau yang berkata al-Quran adalah makhluk dan menjadi penghujah utama bagi golongan Muktazilah yang menentang golongan Ahli Sunnah wal Jamaah.

#Mimpi Imam Abdullah Ibn Mubarak ini merupakan satu kegembiraan bagi orang yang mentaati Allah swt dan menunjukkan kebenaran bagi golongan yang bersedekah dan sesiapa yang melakukan kebaikan mewaqafkan sumber air kepada orang yang memerlukan serta kebenaran bagi mereka yang mempertahan dan memuliakan kedudukan al-Quran.

♡Moga kisah dan cerita mimpi daripada Imam yang soleh ini menjadi motivasi dan menambah semangat untuk kita sentiasa melakukan kebaikan dan ketaatan sebagaimana yang diperintahkan dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah saw♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 10 Jamadil Awwal 1446H☆

لَّقَدۡ صَدَقَ ٱللَّهُ رَسُولَهُ ٱلرُّءۡیَا بِٱلۡحَقِّۖ

"Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar" [Surah al-Fatḥ 27]

#Apa yang dilihat di dalam mimpi terbahagi kepada tiga bahagian: 

1. Pertama: Mimpi baik sebagai khabar gembira dari Allah swt. 
2. Kedua: Mimpi buruk dari syaitan bertujuan mendatangkan rasa bimbang dan sedih kepada manusia. 
3. Ketiga: Disebabkan perkara yang bermain di fikiran manusia.

#Daripada Sayidina Abu Salamah r.a, katanya:

لَقَدْ كُنْتُ أَرَى الرُّؤْيَا فَتُمْرِضُنِي حَتَّى سَمِعْتُ أَبَا قَتَادَةَ يَقُولُ وَأَنَا كُنْتُ لَأَرَى الرُّؤْيَا تُمْرِضُنِي حَتَّى سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الرُّؤْيَا الْحَسَنَةُ مِنْ اللَّهِ فَإِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يُحِبُّ فَلَا يُحَدِّثْ بِهِ إِلَّا مَنْ يُحِبُّ، وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَلْيَتْفِلْ ثَلَاثًا وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا أَحَدًا فَإِنَّهَا لَنْ تَضُرَّهُ

"Sesungguhnya aku pernah bermimpi suatu yang tidak elok, sehingga menyebabkan aku jatuh sakit, sehinggalah aku mendengar Abu Qatadah berkata: ”Aku juga sebelum ini pernah bermimpi buruk sehingga menyebabkan aku jatuh sakit. Lalu aku mendengar Nabi saw bersabda: Mimpi yang baik itu dari Allah, oleh yang demikian jika seseorang dari kamu bermimpi sesuatu yang disukainya, maka jangan dia menceritakannya melainkan kepada sesiapa yang dia suka. Dan jika dia bermimpi sesuatu yang tidak disukainya, maka hendaklah dia meminta perlindungan dengan Allah dari kejahatan mimpi dan syaitan, dan meludah (meludah angin tanpa air liur) tiga kali, dan jangan dia menceritakannya kerana ia tidak akan memudharatkannya" (HR al-Bukhari dan Muslim)

#Sesuatu yang tidak disukai yang dilihat di dalam mimpi adalah dari syaitan bertujuan mendatangkan rasa sedih kepada orang yang beriman, dan semua itu tidak dapat memberi sebarang kemudharatan kepada orang yang beriman melainkan dengan keizinan dari Allah swt jua.

#Dalam riwayat daripada Sayidina Jabir r.a berkata: "Suatu hari datang seorang Arab Badwi bertemu Nabi saw dan berkata: "Wahai Rasulullah! Aku telah bermimpi seolah-olah kepala aku dipancung dan jatuh bergolek. Mimpi itu meninggalakan kesan yang berat ke atasku. Lalu baginda saw bersabda: "Jangan kamu bercerita kepada orang ramai apabila apabila syaitan mempermainkanmu di dalam tidurmu" (HR Muslim)  

#Maka, jika melihat sesuatu yang tidak baik di dalam mimpi, tindakan yang perlu dilakukan ialah tidak perlu menghiraukan mimpi tersebut dan jangan menyibukkan fikiran memikirkan nya. Juga tidak menceritakan mimpi tersebut kepada orang yang tidak menyukainya, agar jauh dari keburukan dan kejahatan seperti hasad atau seumpamanya.

#Oleh yang demikian, seseorang hamba sewajarnya berterusan mentaati Allah swt dan menjauhi sebarang maksiat agar terus berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan dari Allah swt. Berkata Imam Ibn Sirin rahimahullah:

اتق الله في اليقظة ، ولا تبال ما رأيت في النوم

"Bertakwalah kamu kepada Allah ketika jaga, justeru kamu tidak perlu  pedulikan apa yang kamu lihat di dalam mimpi" (Lihat: Syarh al-Sunnah oleh al-Imam al-Baghawi)

#Bagi menghidari masalah mimpi buruk, antara cara yang boleh diamalkan ialah:

1. Membaca ayat-ayat pelindung
2. Sentiasa melazimi zikir pagi dan petang.
3. Melazimi bacaan surah al-Fatihah dan tiga Qul (al-Ikhlas,al-Falaq dan al-Nas). Kaedah yang betul adalah dengan membaca tiga Qul ini dengan mengulanginya sebanyak tiga kali dan menyapunya keseluruh badan.
4. Membaca ayat kursi setiap kali selepas solat dan ketika hendak tidur.

♡Moga Allah swt melindungi kita semua daripada sebarang mimpi yang buruk. Sesungguhnya Allahlah sebaik-baik pelindung dan tempat pergantungan♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 9 Jamadil Awwal 1446H☆

لَّقَدۡ صَدَقَ ٱللَّهُ رَسُولَهُ ٱلرُّءۡیَا بِٱلۡحَقِّۖ

"Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar" [Surah al-Fatḥ 27]

#Mimpi yang baik berada pada tempat yang mulia kerana ia dari Allah swt. Allah swt mengurniakannya sebagai khabar gembira kepada orang-orang yang beriman, melunakkan dan memberi ketenangan kepadanya. Bahkan mimpi yang baik itu boleh diceritakan kepada orang lain.

#Daripada Sayidina Sa’id al-Khudri r.a, bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah saw bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا فَإِنَّمَا هِيَ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ فَإِنَّمَا هِيَ مِنْ الشَّيْطَانِ فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا وَلَا يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ فَإِنَّهَا لَا تَضُرُّهُ

"Apabila seseorang dari kamu bermimpi sesuatu yang disukainya, maka perkara itu adalah dari Allah, maka bertahmidlah kepada Allah, dan ceritakanlah perkara tersebut. Jika dia melihat sesuatu yang tidak disukainya, perkara itu adalah dari syaitan, maka mohonlah perlindungan dari kejahatannya (kejahatan mimpi), dan jangan diceritakan kepada seseorangpun, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak dapat mendatangkan mudharat kepadanya" (HR al-Bukhari)

#Diceritakan oleh seorang ulamak besar, pendakwah, dan penulis terkenal Mesir yang dihormati kerana khutbah bersemangat dan kritikan terhadap ketidakadilan sosial, Syeikh Abdul Hamid Kisyk mengenai mimpinya bertemu Rasulullah, iaitu beberapa ketika sebelum kewafatannya. Hari itu adalah hari Jumaat, dan pada hari yang penuh berkat ini, Syeikh Hamid Kisyk menunaikan solat Subuh, beliau memiliki wirid harian dari bacaan al-Quran dan zikir yang tidak pernah beliau tinggalkan, tidak kira apa jua keadaan dan situasi. Selepas selesai mengerjakan wiridnya dan solat Dhuha, beliau terasa mengantuk lalu tertidur seketika. Setelah itu, beliau terjaga dan dengan penuh semangat berkata: “Allahu Akbar, Allahu Akbar!”. Kemudian, beliau memanggil isteri dan anak-anaknya dengan hati yang gembira, lalu berkata kepada mereka: "Adakah kamu tahu siapa yang aku lihat dalam mimpiku hari ini?” Mereka menjawab: “Hanya Allah yang lebih mengetahui". Lantas beliau berkata: “Aku telah melihat seorang insan yang tidak pernah aku temui keindahan penciptaannya sepertinya. Dia adalah penghulu sekalian makhluk, kekasih yang diredhaiNya Allah. Dia adalah insan yang telah menjadikan para hamba sebagai pemimpin, menjadikan golongan yang lemah sebagai guru dan ketua. Dia juga adalah insan yang mengangkat penyembah Batu menjadi pemimpin umat manusia dan menjadikan para penggembala sebagai pemimpin bangsa. Dia adalah seorang yang ummi tetapi mampu mengajar mereka yang terpelajar, seorang fakir yang memimpin dunia yang sedang terumbang-ambing di tengah ombak menuju ke tepian Allah, Tuhan sekalian alam”.

Aku telah melihat Nabi Muhammad saw bersama Umar bin al-Khattab r.a. Dan aku mendengar Nabi saw berkata kepada Umar: ‘Dudukkan dia di sini, wahai Umar, agar aku dapat memandikannya dengan kedua tanganku.’ Maka Umar pun mengambil aku dan membaringkanku di atas
sebuah meja, dan Nabi saw mula memandikan aku dengan kedua tangan Baginda yang mulia, sementara Umar r.a menyerahkan air kepada Baginda.” Kemudian Syeikh mengangkat tangannya dan berkata: “Aku memohon kepada Allah agar hari ini menjadi hari pertemuanku denganNya".

Selepas itu, beliau berwuduk di rumah untuk bersiap-siap menunaikan solat Jumaat, dan seperti kebiasaannya, beliau memulakan solat sunat sebelum berangkat ke masjid. Beliau memasuki solat dan menunaikan satu rakaat. Pada rakaat kedua, setelah beliau sujud pada sujud pertama dan bangkit daripadanya, beliau sujud kali kedua dan di dalam sujud itulah beliau meninggal dunia. Peristiwa ini berlaku pada hari Jumaat, 25 Rejab 1417 Hijrah, bersamaan dengan 6 Disember 1996.

Beliau telah berdoa kepada Allah agar diwafatkan dalam keadaan sujud, dan Allah mengabulkan doanya.

Читать полностью…
Subscribe to a channel